Pelajar Perlu Peka Dalam Kuasai Bidang Diceburi
21 APRIL 2019 / 15 SYAABAN 1440H
==============================
UUM ONLINE: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan supaya perlu mempunyai kepekaan dalam menguasai bidang yang diceburi.
Berkata pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Kokurikulum 2019, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali berharap pelajar yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum dapat menghubung kait dan mengintergrasi bakat serta ilmu yang ada dengan lima kemahiran utama.
“Lima kemahiran itu ialah kemahiran komunikasi, kemahiran menganalisis dan mengkaji, kemahiran mengurus diri, kemahiran sosial dan kemahiran berfikir.
“Dengan ini pelajar dapat membina sahsiah diri yang cemerlang seterusnya menjadi kebanggaan UUM dan negara yang dicintai ini,” katanya yang mewakili Naib Canselor di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Dr. Hendrik berkata, pihak universiti mendapati bahawa mahasiswa yang mengikuti kursus dan aktiviti kokurikulum menyerlahkan tahap kepimpinan mereka kerana asuhan disiplin, di samping berpeluang untuk membugar semangat kerjasama melalui interaksi dan proses penyelesaian masalah.
Menurutnya, ia selaras dengan hasrat murni yang digarap dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui misi UUM iaitu ‘Kami Mendidik Pemimpin Berperwatakan Holistik untuk Berbakti kepada Komuniti Global’ dan diterjemahkan melalui moto Pusat Kokurikulum, ‘Pembangunan Mahasiswa Holistik’ dengan harapan untuk melahirkan graduan berketrampilan, berdaya saing dan berkebolehan pasaran tinggi.
Hari Kokurikulum 2019 diakhiri dengan persembahan teater muzikal bertajuk ‘Tapau’ adaptasi telemovie komedi ‘Kampung Kuala Lambat’ yang dipersembahkan oleh pelajar seni lakon di bawah pemantauan jurulatih Saiful Amir Kidam dan dipentaskan oleh pelajar kursus seni lakon, seni tarian Melayu, seni suara dan seni muzik Pusat Kokurikulum.
Menurut Dr. Hendrik, terdapat banyak peluang kerjaya yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat teater seperti menjadi pelakon, pengarah, penari, penulis skrip, pengurus produksi, pengurus pentas, sinografer, kareografer, pereka set, pereka kostum, pembuat props, pereka cahaya, pengurus Box Office dan juga pensyarah.
“Telah terbukti bahawa disiplin dan ciri-ciri kreatif yang ada juga mampu membawa penggiat teater menceburi mana-mana bidang lain terutama yang bersangkutan dengan industri kreatif.
“Saya yakin dan percaya dengan segala usaha dan kerjasama erat yang ditunjukkan ini akan memberi impak besar dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Teater muzikal ‘Tapau’ yang menampilkan pelakon dan penyanyi, Izzue Islam merupakan kesinambungan teater sama yang telah dipentaskan pada November tahun lalu oleh pelajar Unit Seni Lakon Pusat Kokurikulum.
‘Tapau’ mengisahkan tentang tiga sahabat karib yang masih membujang pada usia sudah tua iaitu Pak Abu, Pak Samad dan Pak Din serta kupasan persoalan demi persoalan tentang isu semasa seperti penggunaan aplikasi media sosial, peraturan merokok dan hak manusia.
Pada sebelah pagi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim telah merasmikan Hari Kokurikulum 2019 yang mengangkat tema ‘Kokurikulum Pemangkin Kecemerlangan Sahsiah Mahasiswa’ di padang kawad PALAPES.
Menurutnya, program tersebut merupakan titik kemuncak kepada mahasiswa yang sedang mengikuti pelbagai kursus kokurikulum yang ditawarkan di universiti untuk mempamerkan ilmu, pengalaman dan kemahiran insaniah yang telah diperoleh.
Katanya, selain daripada metrik kejayaan akademik, penglibatan dalam kokurikulum juga memupuk rasa kekitaan, menggilap kemahiran insaniah dan mengasah kecekapan interpersonal dan intrapersonal.
“Semua ini amat penting memandangkan mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
“Sebagai seorang mahasiswa, tidak seharusnya menanamkan di dalam jiwa bahawa pembelajaran di universiti hanya untuk mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan mahupun memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk memperoleh sekeping ijazah sahaja tetapi setiap ilmu yang diperoleh wajar dan haruslah ditafsirkan mengikut kaca mata ilmiah pada konteks yang betul,” katanya.
Tambahnya, mahasiswa UUM harus mengambil kesempatan dan memanfaatkan segala peluang yang ada di universiti ini demi untuk meningkatkan kualiti dan jati diri.
"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie