SERDANG: Majlis Kokurikulum Universiti-Universiti Malaysia (UniCC) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi dan Universiti Putra Malaysia telah berjaya menganjurkan julung-julung kalinya Persidangan Kebangsaan Kokurikulum Universiti 2019 (NUCC 2019) pada 10-11 Julai 2019 bertempat di Bangunan TNCPI UPM Serdang Selangor.
Menurut Pengarah KoKurikulum UUM, Prof Madya Dr Hussin bin Abdullah, Persidangan ini dihadiri oleh 20 buah IPTA antaranya UM, USM, UKM, UPM, UTM, UIAM, UUM, UniMAS, UMS, UPSI, USIM, UITM, UMT, UTHM, UTEM ,UMP, UniMAP, UMK dan UPNM dengan pembentangan kertas kerja sebanyak 43 artikel dan 30 penyertaan pertandingan inovasi pembelajaran dan pengajaran KoKurikum di IPT dengan tema “Innovation Co-Curriculum to Enhance Student Development”. UUM telah berjaya merangkul 3 pingat Emas bagi produk pembelajaran Kokurikulum iaitu OutCE Kok, PASS-DT dan I-SpiReL yang turut dipilih sebagai pemenang Tempat Pertama Pertandingan Inovasi PdP Kokurikulum di NUCC2019.
OutCE (Out Campus Community Engagement) yang dicetuskan oleh Prof. Madya Dr. Hussin Abdullah, Pengarah Kokurikulum UUM dengan Rakan Inovasi KoK Prof. Madya Dr. Mardzelah binti Makhsin, Mejar Norzilah Aziz, Dr. Mohd. Noor Abdul Hamid, Dr. Azizah Bt. Md. Yusof dan Dr. Nor Hasimah binti Ismail. OutCE KoK adalah pembelajaran service learning melalui khidmat komuniti pelajar kokurikulum dalam memperkasakan kemahiran insaniah daripada aspek kepimpinan dan tanggungjawab sosial. Dua aspek kemahiran insaniah yang ditekankan dalam OutCE bertujuan memperkayakan pengalaman pembelajaran tentang tanggungjawab sivik dalam mengukuhkan kesejahteraan komuniti. OutCE dibangunkan lanjutan daripada projek SPPK2: Sistem Pemarkahan Pelajar Ko-Kurikulum Berpandukan iCGPA. Program OutCE berorientasikan kepada pembelajaran khidmat komuniti dan pembelajaran pengalaman imersif kepada semua pelajar UUM yang diwajibkan mengambil kursus Ko-Kurikulum selama empat semester. Antara projek yang mengaplikasikan program OutCE dalam pembelajaran khidmat komuniti adalah projek E-Business Exposure yang dilaksanakan di perkampungan Orang Asli Lubuk Lenggong, Baling Kedah. Seramai 58 orang pelajar UUM melibatkan diri dalam berkongsi ilmu kepada komuniti orang Aslivtentang perniagaan secara online dalam mempromosikan barangan yang dihasilkan daripada rotan, akar kayu, buluh, kayu depu, tumbuh-tumbuhan. Hasil daripada projek ini telah menunjukkan keupayaan pelajar-pelajar UUM dalam memiliki kemahiran insaniah dari aspek kepimpinan dalam mengendalikan projek dan tanggungjawab sosial dalam membangunkan komuniti orang Asli dengan kaedah promosi perniagaan melalui teknologi yang mampu meningkatkan taraf hidup komuniti orang Asli di Kedah. Justeru program OutCE adalah pendekatan terbaik dalam mengaplikasikan pembelajaran khidmat komuniti dan pengamalan imersif kepada pelajar kokurikulum UUM.
Manakala Dr Jastini Mohd Jamil, Dr Izwal Nizal Mohd Shaharanee dan Prof. Madya Dr. Hussin Abdullah yang membangunkan PASS-DT (Predictive Analysis for Student Success using Decision Tree) ialah aplikasi data analitik berasaskan Web yang dibangunkan untuk meramal dan mengelaskan prestasi akademik pelajar Kokurikulum. PASS-DT amampu untuk meramal sama ada pelajar akan berada di kelas purata markah keseluruhan (PNK) 3.00 dan ke atas atau (PNK) 2.99 ke bawah, secara tidak langsung ia mampu membantu pelajar untuk memahami dan merancang prestasi akademik masing-masing. Ia boleh bertindak sebagai alat untuk membantu dalam pembuatan keputusan bagi memilih gerak kerja Kokurikulum yang bersesuaian dengan pelajar. Manakala pensyarah pula, Modul PASS-DT mampu bertindak sebagai sistem amaran awal kepada prestasi pelajar di bawah pengawasan mereka.
Produk pembelajaran I-SpiReL (Islamic Spiritual Reflection Learning) yang dibangunkan oleh Mardzelah Makhsin, jurulatih Unit Kepimpinan Sub-Unit Kerohanian, menjelaskan bahawa I-SpiReL adalah pembelajaran refleksi kerohanian yang menggunapakai amalan Hisbah Refleksi Al-Nafs, dalam kursus Ko Kurikulum UUM di bawah Unit Kepimpinan Sub Unit Kerohanian. I-SpiReL melibatkan kemahiran kecerdasan hisbah releksi al-nafs yang terdiri daripada enam domain iaitu potensi qalb, jasmani, akal, rohani, nafsu dan jiwa dalam membina kesedaran kendiri mahasiswa bagi meningkatkan kemahiran insaniah dari aspek kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi, tanggungjawab sosial, berfikiran kreatif dan kristis dalam menyelesaikan masalah, beretika dan memiliki moral profesionalisme sebagai pemimpin masyarakat. Secara keseluruhannya program ini telah berjaya membina potensi mahasiswa KoK Kerohanian UUM sebagai pemimpin dan pengurus program inspirasi kemenjadian manusia berpotensi sempurna dengan komuniti luar daripada sekolah-sekolah sekitar negeri Perlis. Oleh yang demikian objektif I-SpiReL telah berjaya melatih dan menerapkan ilmu amalan Hisbah Refleksi Al-Nafs kepada mahasiswa KOK Unit Kepimpinan Sub-Kerohanian. Keberhasilan I-SpiReL dibuktikan dengan keupayaan mahasiswa memindahkan ilmu yang dipelajari kepada komuniti luar seperti pelajar sekolah sekitar Kedah dan Perlis dengan pelaksanaan modul Program Inspirasi Kemenjadian Manusia Berpotensi Sempurna.
Kejayaan produk pembelajaran Kokurikulum UUM dalam Pertandingan Inovasi PdP Kokurikulum NUCC2019 adalah suatu usaha dalam memperkasakan Kokurikulum di UUM yang menekankan kemahiran insaniah pelajar dengan memenuhi hasrat Universiti mewujudkan pendidikan seimbang dan menyeluruh supaya pelajar menjadi siswazah yang lebih matang, melatih aspek kepimpinan dengan menitikberatkan disiplin, organisasi dan kerjasama kumpulan dalam kalangan pelajar, memberi peluang kepada pelajar mengasah bakat dan kemahiran diri dan memupuk semangat kerjasama dan perpaduan kaum dalam kalangan pelajar.